Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1923. Pada masa itu tidak ada bantuan kerajaan. Pihak kerajaan hanya memberi kebenaran untuk menubuhkan sekolah. Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Subramania Swami Devasthanam menubuhkan sekolah ini kerana pelajar-pelajar India yang beragama Hindu enggan belajar di sekolah Kristian di mana bahasa penghantarnya ialah Bahasa Inggeris dan pelajaran agama Kristian telah diwajibkan.
Sekolah ini bermula di atas pentas Kuil Sri Subramania Swami Devasthanam dengan dua puluh lima orang murid dan seorang guru. Gaji guru dibayar daripada pungutan derma dari orang awam. Murid terpaksa duduk di atas lantai semasa belajar. Sekolah ini dipindahkan ke Kampung Anak Cina ( Pekan Atap ) pada tahun 1941 dan beroperasi sehingga 1952. Bangunannya diperbuat daripada papan dan berbumbungkan atap. Pada masa itu bilangan murid telah meningkat tetapi guru hanya seorang sahaja.
Tahun 1942, zaman Perang Dunia Ke-2. Pentadbiran seluruh Tanah Melayu di bawah penguasaan penjajah Jepun. Pegawai Daerah Jepun telah memberi satu bangunan papan yang berbumbungkan atap di persimpangan Jalan Petri dan Jalan Pengkalan. Bangunan ini merupakan bekas bangunan Mahkamah Penjajah Inggeris. Pengurusan Sekolah menghadapi masalah kerana ketiadaan padang sekolah, dan menggunakan Padang Awam Daerah Kuala Muda. Bangunan sekolah telah runtuh dilanda angin ribut. Sekali lagi, sekolah ini telah dipindahkan ke bangunan Pejabat Pos Lama Sungai Petani pada tahun 1949 dan beroperasi sehingga tahun 1955, dan berpindah ke Kuil Sri Subramania Swami Devasthanam pada bulan April 1955.
Pada tahun 1966, Kerajaan Malaysia telah menyumbangkan RM 15,000 untuk membina sebuah kantin, pondok basikal dan pagar di sekeliling kawasan sekolah. Pada masa itu, jumlah pelajar telah meningkat ke angka 987. Walaupun sekolah beoperasi dua sesi, namun bangunan sekolah masih tidak dapat menampung bilangan murid.
Bangunan dua tingkat dibina dengan sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM 25,000 dan sumbangan Kuil Sri Subramania Swami Devasthanam sebanyak RM 50,000. Orang awam juga telah memberikan sumbangan mereka.
Kini sekolah ini dilengkapi dengan sebuah dewan yang memakan kos pembinaan sebanyak RM 450,000.
.


